Friday 19 April 2013/ -10:48:00
Perkongsian PBS Sejarah 2013 / SENI TEKAT / Maisarah Ismail
Seni Tekat
Tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,seni warisan dan budaya perlu dipertahankan
agar sentiasa releven dan diingati oleh segenap masyarakat Malaysia,
terutamanya golongan muda-mudi.Masyarakat Melayu dahulu begitu kaya dengan
warisan seni halus yang diwarisi sejak zaman berzaman.Tenunan, sulaman dan
tekat umpamanya adalah antara seni halus yang sinonim dengan masyarakat
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kebudayaan.Namun begitu seni
warisan ini semakin dilupakan sedikit demi sedikit oleh generasi pada hari
ini.Justeru, kajian saya mengenai Seni Tekat ini adalah untuk mengembalikan
semula seni budaya zaman kegemilangan nenek moyang kita kepada rakyat Malaysia
agar seni budaya ini sentiasa utuh dan subur dalam sanubari kita.
Seni
Tekat adalah sejenis seni pertukangan tangan Melayu tradisional yang dihasilkan
dengan menyulamkan benang emas ke atas kain baldu. Seni ini juga dikenali
dengan nama suji timbul, iaitu sulaman timbul atau tekat bersuji.1
Selain itu, Seni Tekat atau tekatan atau sulaman tekat membawa maksud jahitan
yang berbunga-bunga biasanya sebagai perhiasan pada kain.2Seni tekat
termasuk dalam kategori tekstil yang dihasilkan dengan cara menyulam benang
emas ke atas dasar kain jenis baldu.3 Tekatan merupakan hasil seni
yang dibentuk dengan kertas yang sederhana tebal dan disalut dengan benang emas
di atas kain atau baldu yang lazimnya bewarna gelap. Kesannya, berlakulah corak
timbul di atas kain dasar dan inilah yang dinamakan sebagai tekat.4
Asal
usul seni tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan
kelengkapan keluarga raja-raja atau golongan istana pada zaman dahulu kala.Penggunaan
awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka.Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat dalam kalangan
masyarakat Cina yang berketurunan Baba Melaka.Mereka menggunakan sulaman tekat
pada pakaian-pakaian mereka.Jika kita susuri sejarah Seni Tekat dengan lebih
mandalam, tekat sebenarnya merujuk kepada pakaian dan bahan kelengkapan yang
wujud serta berkembang di istana. Alatan yang dihiasi dengan tekat emas
merupakan peralatan yang wujud di istana. Beberapa rupa bentuk tekat dicipta
untuk digunakan sebagai bahan atau alat seharian dan juga sebagai pakaian rasmi
sultan. Seni tekat telah berkembang di luar istana sebagai kraf tangan
sambilan.5Pada masa dahulu, istana merupakan penggerak utama
pertumbuhan kraf seni tekat.Ramai pakar tukang tekat dimiliki dan dijaga oleh
pihak istana.Ini adalah kerana kelengkapan istana memerlukan tekat benang emas
sebagai barangan seharian mereka.Tekat benang emas menampakkan kemewahan dan
keagungan kepada pemakainya atau penggunanya. Ramai pakar tekat pada masa itu
membuat tekat untuk kegunaan istana sahaja.6Pakaian bertekat adalah
barang larangan. Ia tidak boleh dipakai oleh sebarangan orang, walaupun seorang
hartawan, kecuali atas arahan dan kurnia raja sahaja. Pengharaman ini juga
berkait rapat dengan konsep “devaraja” Hindu yang menganggap raja sebagai seorang
yang berkuasa mutlak dalam agama dan adat istiadat serta kesenian.7
Asal
usul penciptaan dan penggunaan tekstil tekat dianggarkan sama dengan penggunaan
tekstil songket. Tekat pada masa itu merupakan ciptaan pakaian dan bahan
kelengkapan yang wujud serta berkembang di istana. Pada zaman keagungan
kerajaan Melayu di Melaka, sulaman benang emas juga telah diperkenalkan oleh
China. Hal ini terbukti dengan penggunaan bahan-bahannya yang berkilauan,
seperti labuci atau jemeki yang sememangnya memperlihatkan wujudnya pengaruh
China dalam pensiptaan sulaman tekat. Penciptaan tekstil tekat pada kain
sutera, kasa atau baldu tidak popular dalam kalangan kehidupan masyarakat orang-orang
Melayu pada masa itu. Jelas sekali, pada masa dahulu tekat hanya boleh dipakai
atau digunakan oleh orang-orang istana sahaja. Sungguhpun seseorang itu orang
kenamaan ataupun bangsawan, namun mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan
atau memakai pakaian yang berasaskan tekat, kecuali dianugerahi sultan atau
kerabat diraja sahaja.8
Dalam
perkembangan seterusnya, seni tekat ini telah tersebar dan berkembang dalam
kalangan masyarakat luar istana, iaitu rakyat biasa. Salah satu sebabnya ialah
kerana berlakunya perkembangan ajaran agama Islam yang tersebar luas. Agama
Islam menganggap semua umat manusia mempunyai taraf yang sama, tidak ada perbezaan
kelas yang boleh membezakan antara mereka sesama manusia. Justeru itu,
masyarakat Melayu pada masa itu telahpun menerima ketamadunan Islam dan
berfikiran secara terbuka. Maka, masyarakat pada masa itu bebas untuk
menggunakan, membuat serta memakai peralatan tekat yang sebelumnya menjadi
larangan. Maka akhirnya, tekatan atau Seni Tekat sudah menjadi milik bersama
tidak kira golongan diraja mahupun rakyat biasa.9
Seni
tekat telah berkembang dan tersebar hampir di seluruh Malaysia. Antara
negeri-negeri yang terkenal dengan seni tekat atau tekatan selain di negeri Perak
ialah, di Klang, Selangor, diPekan, Pahang dan di Muar, Johor.Jika kita lihat
semula dari penumpuan daerah-daerah yang disebutkan tadi, apa yang menariknya
ialah, kesemua daerah-daerah tumpuan tersebut merupakan bandar-bandar diraja.Hingga
ke hari ini, seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan
dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri
paling banyak sekali mengusahakan hasil kraf seni tekat timbul benang emas.10
Untuk
menghasilkan sebuah tekat bukanlah suatu proses yang mudah. Ianya begitu rumit
dan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Malah, proses tekat memakan masa yang
agak lama untuk dihasilkan dengan selengkapmya. Bahan-bahan asas untuk
menghasilkan seni tekat terdiri daripada bahan-bahan yang halus dan mewah.
Bahan-bahan tersebut ialah kain baldu, benang emas, coban, pemidang, benang
putih, rotan sega, kertas tebal dan kanji atau gam.11 Alat-alat
sampingan lain yang digunakan untuk persiapan tekat termasukklah jarum jahit,
pisau untuk memotong lapisan kertas mempulur dan papan sebagai alas memotong.12
Secara ringkasnya
proses penciptaan tekat dimulakan dengan menyiapkan pemidang iaitu dengan
menegangkan kain putih. Kemudian diikuti pula dengan menyediakan mempulur atau
isi tekat dari kertas atau rotan sega. Setelah persiapan ini selesai barulah
proses menyulam atau penciptaan tekat dilakukan.13 Namun begitu,
proses tekat sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu persiapan awal dan
proses menyulam.14
Proses ini bermula
dengan persiapan pemidang. Sama ada pemidang berkaki ataupun tidak,
kedua-duanya dimulakan dengan menegangkan kain putih ke atasnya. Bahagian keliling
kain putih yang berukuran panjang persegi dimasukkan batang panjang yang telah
dihaluskan. Kaedah ini dilakukan untuk membuat telinga kain, kain putih
kemudian diikatkan ke bingkai pemidang. Cara ini akan memastikan kain putih
tersebut menjadi tegang. Seterusnya kain baldu akan dilekatkan di atas kain
putih dengan menyembat kasar.15
Selepas proses
penyiapan pemidang selesai, kita perlu membentuk mempulur. Mempulur atau
tempulur ialah isi tekat untuk motif dan ragam hias.16 Bentuk motif
atau corak dilukis di atas beberapa helai kertas yang telah ditindih dan
dilekat, biasanya enam hingga lapan helai kertas digunakan untuk menjadikan
tempulur tebal dan tak mudah patah. Potongan-potongan mempulur inilah yang
dilekatkan di atas kain dasar tekat sebelum proses menyulam benang emas
dimulakan. Mempulur yang dibuat dengan kertas biasanya digunakan untuk
membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Melalui potongan kertas atau
mempulur ini, benang-benang dapat disulam mengikut liuk dengan meninggalkan
kesan lembut dan menambahkan kehalusan bentuk motif yang dicipta. Selain
daripada kertas, mempulur boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan rotan sega
dan bilah-bilah buluh. Biasanya, mempulur yang menggunakan rotan sega atau
buluh digunakan untuk menjadi isi tekat kepada ragamhias yang besar dengan
corak-corak tegas dalam gaya geometri. Selain daripada menggunakan kertas,
rotan sega dan buluh, mempulur juga boleh dilakukan dengan menggunakan benang
yang dikampuh atau dikembar beberapa jalur. Motif yang dihasilkan dengan
menggunakan mempulur jenis ini berbentuk kecil dan lembut.17
Proses seterusnya ialah
proses menyulam. Proses ini merupakan tahap paling penting dalam penghasilan
seni tekat. Menyulam di sini membawa maksud menutup corak atau mempulur dengan
menggunakan benang emas. Kerja menyulam ini dilakukan dengan menggunakan coban.
Sebatang jarum tangan yang halus dan benang halus berwarna putih juga
diperlukan ketika menekat benang emas itu. Ukuran jarum yang digunakan akan
menentukan ikatannya tidak kasar dan meninggalkan kesan lubang. Benang emas
kemudiannya dijahit menutupi mempulur dan tembus ke bawah kain baldu yang
kemudiannya akan diikat jahit dengan benang putih. Namun begitu, benang putih
tidak boleh kelihatan pada kain baldu dan benang emas pula mesti disulam secara
rapat-rapat dan menutupi seluruh bahagian mempulur. Proses ini diulang sehingga
semua mempulur ditutupi rapat dengan benang emas.18
Akhirnya selesailah
proses menekat. Hasilnya ialah benang emas timbul di atas kain baldu. Hasil
tekatan yang cantik dan indah dapat dilihat daripada kehalusan pembuatannya.
Tekatan yang cantik ialah tekatan yang memenuhi bahagian mempulur dengan benang
emas.19
Secara teorinya,
rupa bentuk tekatan terbahagi kepada dua, iaitu rupa bentuk dua dimensi dan
rupa bentuk tiga dimensi. Rupa bentuk dua dimensi mempunyai permukaan yang
datar, kecuali setelah dibentuk menjadi pakaian. Motif yang telah siap ditekat
juga berbentuk datar, iaitu ragam hiasatau coraknya dijahit di atas permukaan.
Sebagai contohnya, tikar, lemudi pintu, penyangkut kelambu, selempang dan
kipas. Bagi rupa bentuk jenis tiga dimensi pula terbentuk dari sulaman bertekat
yang digunakan untuk menutupi acuan atau rangka yang mempunyai ruang, rongga
dan permukaan atas, bawah, kiri dan kanan. Contoh bagi tekat yang menggunakan
rupa bentuk tiga dimensi ialah, kotak tembakau, sarung bantal, sarung keris dan
kasut. Pembuatan tekat bagi rupa bentuk tiga dimensi lebih rumit berbanding
pembuatan tekat dua dimensi.20
Terdapat dua
jenis ragam hias yang sering digunakan oleh tukang tekat, iaitu sulaman penuh
dan sulaman pahat. Sulaman penuh merupakan ragam hias yang digunakan untuk
menutupi mempulur yang dibuat dengan menggunakan kertas tebal. Mempulur ini
berukuran antara 0.7sm hingga 0.5sm. Benang emas akan disusun dan disulam
dengan rapatnya supaya tidak nampak bentuk mempulurnya. Kebanyakan motifnya
dibentuk dengan susunan panjang lancip dan halus. Manakala, bagi ragam hias
tekat jenis sulaman pahat pula digunakan untuk mempulur bersaiz besar,
berukuran 0.5sm hingga 1.5 meter. Sebagai contoh, untuk membuat daun keladi,
benang emas perlu ditekat pada jarak yang sama seperti mempulur kecil. Untuk
itu, tukang tekat harus memendekkan langkau benang emas pada bahagian tengah
daun, dengan cara menyulam setengah-setengah sehingga permukaan mempulur
tertutup. Cara sulaman begini akan menghasilkan tekatan yang kelihatan berukuir
dan berongga pada permukaan daun.21
Motif adalah
unsur utama dalam ragam hias. Bentuk motif dalam ragam hias tekat terdiri dari
unsur alam iaitu unsur tumbuhan, unggas dan geometri. Contoh motif tumbuhan
ialah daun pucuk paku, daun peria, daun keladi, daun padi dan pucuk rebung. Motif
geometri ialah unsur-unsur alam yang dipilih sebagai motif dan dipersembahkan
dalam gaya geometri. Motif ini telah lama wujud, tetapi coraknya berbeza-beza
kerana penciptaan motif ini dipengaruhi oleh faktor keadaan alam. Setelah
melalui berbagai zaman, maka secara umumnya motif ini boleh dibahagikan tiga
jenis kumpulan, iaitu gaya geometri asli, gaya geometri alam dan gaya geometri
gubahan. Contoh asas bagi motif geometri ialah seperti segi tiga, segi empat,
kisi-kisi, swastika (motif paling popular) yang berbentuk ‘S’ dan garis lurus.
Motif jenis unggas pula begitu terbatas penciptaannya jika dibandingkan dengan
unsur tumbuhan. Dari beberapa contoh tekat di muzium negara, didapati hanya
sehelai tikar panca yang menggunakan unsur burung sebagai motif utama. Bentuk
motif dari unsur ini telah diubahsuai hingga melihatkan kesan awan larat. Ia disusun
dengan motif bunga dan daun sebagai tambahan unsur burung. Walaubagaimanapun,
proses penyulaman memastikan bahawa motif akan meninggalkan kesan lembut pda
setiap sulaman. Oleh itu, unsur motif adalah sebagai perantara untuk
menimbulkan kehalusan seni tekat sebenarnya. Hampir kesemua daripada contoh
yang dikaji, merupakan motif-motif yang digabung dalam satu susunan hingga
menimbulkan kesan kesatuan yang harmoni.22 Walau apapun bentuk motif
yang dipilih oleh tukang tekat, yang penting ialah cara motif atau bentuknya
disusun sehingga menimbulkan kesan lembut dan menarik. Biasanya untuk tujuan
ini tukang tekat akan menggabungkan beberapa motif dalam satu hasil tekatan.
Misalnya, unsur tumbuhan atau flora dan unsur binatang atau fauna digabungkan bersama
dengan unsur geometri, hasilnya adalah satu kesan yang harmoni, hingga tidak
menampakkan unsur geometri.23
Seni tekatan
merupakan warisan budaya Melayu yang tinggi nilainya, tidak sahaja cantik dan
unik dipandang mata tetapi juga mempunyai simbolismenya yang tersendiri.
Menurut Kamus dewan edisi keempat simbolisme ialah lambang untuk melahirkan
atau menyampaikan sesuatu atau sepekara yang menonjol. Setiap bahan yang
digunakan mempunyai makna disebaliknya, terutama bahan pada hasil tekatan itu,
seperti benang emas, warna kain baldu dan motif yang terhasil. Kesemuanya
menunjukkan tindak balas masyarakatMelayu terhadap unsur alam di sekelilingnya.
Orang Melayu begitu peka terhadap warna alam dan mereka bijak menggabungkan
warna-warna itu sehingga mewujudkan kesan harnoni dalam hasil seni tekat
mereka. Tukang-tukang tekat begitu gemar menggunakan warna kain baldu yang
garang seperti warna hitam dan merah. Warna-warna ini adalah lambang keberanian
dan ketegasan. Benang emas putih dan kuning pula melambangkan wujudnya pengaruh
Hindu yang kuat di kalangan orang Melayu sebelum kedatangan agama Islam.
Mengenai motif pula, tukang tekat gemar mengambil motif bunga-bungaan untuk
dijadikan motif tekat mereka. Ini membuktikan bahawa jiwa orang Melayu lemah
lembut dan cinta pada kedamaian jelas ditonjolkan.24
Dalam melakukan
tekatan, terdapat tiga cara bagaimana sesuatu motif itu disusun untuk
meninggalkan kesan yang halus. Walaupun motif tekatan adalah peniruan unsur
alam, tetapi untuk menjadikannya “lebih hidup” maka unsur melebih-lebihkan
keadaan alam dilakukan agar menjadi lebih indah. Maka bentuk susunan memainkan
peranan yang penting. Terdapat tiga cara susunan dalam tekatan, iaitu susunan
sulur bayung atau sulur bakung, susunan tunggal dan susunan awan larat.
Susunan tunggal
menggunakan motif secara sendirian atau secara tunggal, misalnya motif bunga.
Motif bunga biasanya akan digabungkan dengan motif lain seperti daun, bentuk
pucuk dan bentuk dahan untuk menghasilkan setangkai bunga. Susunan begini
selalu digunakan untuk permukaan persegi seperti sarung kusyen dan sarung
bantal.
Susunan sulur bayung
atau sulur bakung terbentuk daripada penyusunan menjalar seperti motif tumbuhan
melata. Bentuk motif yang digunakan di dalam susunan sulur buyung ialah motif
bunga, putik dan daun. Setiap bentuk motif akan disusun secara seimbang.
Sebagai contohnya, sekuntum bunga disulam di bahagian tengah, manakala bahagian
kiri dan kanannya pula disulam dengan motif daun sehingga memenuhi permukaan
kain baldu. Susunan begini sering digunakan untuk menghiasi kain tekat kemudi,
bendul, pelamin dan peterana.
Susunan awan larat pula
terbentuk melalui penyusunan penuh yang mengisi seluruh permukaan dasar dengan
menggunakan motif tumbuhan dan unggas. Setiap motif disulami saling barkait dan
bersentuhan antara satu sama lain, hingga sukar ditentukan di mana punca atau awal
sulamannya. Punyusunan ini dikatakan sebagai susun awan larat kerana motif yang
digunakan tidak lagi memperlihatkan bentuk motif yang jelas. Sebaliknya, ia
merupakan susunan lingkaran melengkung, meliuk dan berkerawang. Menekat dengan
menggunakan susunan ini memerlukan masa yang lama dan kemahiran yang tinggi
kerana motif yang digunakan adalah lebih kecil dan halus. Tekatan jenis ini
amat menarik dan harganya juga adalah mahal. Lantaran itu susunan tekat jenis
susun awan larat hanya akan dibuat sekiranya ada tempahan sahaja.25
Pada
masa dahulu,penggunaan barangan tekatan, terutama pakaian di kalangan
masyarakat Melayu adalah sangat terhad. Hal ini kerana pada masa dahulu hanya
golongan diraja yang mendominasi penggunaan tekat. Pada masa itu, tekat hanya
digunakan dalam majlis-majlis rasmi oleh golongan-golongan diraja kerana sifat
tekat yang mewah.26 Tetapi seiring dengan perubahan zaman, barangan
tekatan telah digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat Melayu.
Penggunaannya sangat menonjol dalam upacara perkahwinan, baik dalam kalangan kerabat
diraja mahupun dalam kalangan golongan kebanyakan. Di samping itu, seni tekat
dapat dilihat di dalam upacara seperti khatam Al-Quran, berkhatan, merisik,
bertindik dan banyak lagi. Dalam upacara perkahwinan, hampir keseluruhannya
menggunakan barangan tekat. Sebagai contohnya, tekatan digunakan sebagai
peralatan pelamin yang terdiri daripada kelambu, tempat letak tangan dan kaki,
bantal dan sebagainya. Bagi mempelai pula, mereka akan mengenakan pakaian yang
berasaskan tekat ataupun pakaian songket dan seterusnya bagi mempelai perempuan
akan depadankan sekali dengan kasut bertekat. Malah, bilik mempelai juga tidak
ketinggalan dihiasi dengan tekatan yang terdiri daripada kemudi pintu, tutup
kekuda, lemudi katil, tikar sembahyang dan banyak lagi. Kegunaan tekat dalam
adat istiadat perkahwinanMelayu menggambarkan mempelai sebagai raja sehari
kerana pada dahulu kala hanya golongan diraja sahaja yang dibenarkan
menggunakan tekat. Di dalam majlis berkhatam Al-Quran dan berkhatan, tekatan digunakan sebagai cior
untuk kanak-kanak lelaki membaca Al-Quran dan bersanding di atas pelamin mini.
Bagi majlis cukur jambul pula, tekatan digunakan sebagai kelambu, bantal dan
alas tilam bayi. Majlis-majlis yang menggunakan barang-barang bertekat menjadi
lebih berseri dan menarik. Selain itu, tekat juga digunakan sebagai alat
perhiasan dan barang keperluan di dalam rumah. Sebagai contohnya, pelapik
kusyen, bantal, hiasan dinding, tudung saji dan lain-lain lagi.27
Walau bagaimanapun, jika kita tinjau semula zaman dahulu kala, fungsi tekat
masih terbatas. Tekat hanya digunakan sebagai kelengkapan untuk istiadat dan
upacara tertentu. Biasanya tekat digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan,
upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Al-Quran dan seumpamanya.
Secara umumnya, dalam kalangan kerabat diraja, tekat digunakan sebagai pakaian
kebesaran dan hiasan seharian. Namun begitu, penggunaan tekat dalam kalangan
masyarakat biasa pada masa itu agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan
bahan yang mewah. Malah penciptaannya juga memakan masa yang agak lama dan
hasilnya yang dekoratif serta indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila
digunakan.28
Walaupun
sehingga hari ini tekatan masih dibuat, terutamanya di Perak, namun pembuatan
tekat pada masa kini hanya dijadikan sebagai pekerjaan dan pendapatan sambilan
sahaja. Hal ini kerana permintaan tekat kini kurang memberangsangkan dan tidak
mendapat sambutan yang positif oleh orang ramai. Oleh itu, para penekat
terpaksa melakukan pekerjaan lain untuk menyara kehidupan mereka. Keadaan
begini secara tidak langsung menyebabkan generasi muda pada hari ini tidak
berminat untuk mempelajarinya. Jika keadaan ini terus dibiarkan, tidak mustahil
seni tekat ini akan dilupakan dan ditelan zaman.29 Justeru itu,
tindakan segera perlu diusahakan agar seni tekatan tidak terus dilupakan dan dapat
dikeluarkan secara komersial. Institut-intitut pengajian tinggi perlu
menambahkan sesi kokurikulum mereka dengan memperkenalkan kelab dan persatuan
budaya-budaya Malayu supaya dapat mengembalikan semula seni tekat kepada
generasi muda pada hari ini.
Warisan
kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus
mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini
tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar?
Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik
dan membinasakan yang murni? Marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi
memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan
yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus
dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh!
Konklusinya, seni tekat
merupakan salah satu warisan negara Malaysia yang perlu dipelihara dan
disanjungi oleh seluruh masyarakat Malaysia. Seni tekat adalah antara seni
budaya yang menjadi kebanggaan negara dan harus dikekalkan agar tidak hilang
ditelan zaman. Justeru itu, kita sebagai orang Malaysia yang berbilang kaum
perlu menghargai dan menerima kembali seni warisan nenek moyang kita.Kegagalan
untuk mengekalkan kebudayaan sendiri boleh menyebabkan imej negara dan
masyarakat itu sendiri akan musnah dalam sekelip mata sahaja. Bak kata pepatah
'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan' yang membuktikan betapa pentingnya
kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam kehidupan.
NOTA
HUJUNG
1. Abdullah Zakaria Ghazali dan Muhd Radzi
Hj. Ahmad, Perak Warisan Budaya dan
Sejarah(United Selangor Press Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 2011), h.129
2. DBP,Kamus
Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua(DBP, 2008), h.87
3. Kucc, Kerana Aya Sofia Bab 8(2011), http://cetera-kucc.blogspot.com/2011/11/kerana-aya-sofya-bab-8.html
4. Syed Ahmad Jamal, “Tekatan”, Rupa dan Jiwa, (1992): h.95
5. Kucc, Kerana Aya Sofia (2011),
http://cetera-kucc.blogspot.com/2011/11/kerana-aya-sofya-bab-8.html
6. Ieezal, Seni Tekat (2011), http://pendidikan-senivisual.blogspot.com/2010/08/seni-tekat.html
7. Abdullah Zakaria Ghazali dan Muhd Radzi
Hj. Ahmad, Perak Warisan Budaya dan
Sejarah (United Selangor Press Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 2011), h.129
8. Siti Zainon Ismail, “Bab V Seni Tekat”,Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi, (1986)h.238-240
9. Ibid. h.130
10. Ibid. h.131
11. Dato’ Hj Sulaiman Othman et. Al., “The Art Of Embroidery”, The Crafts of
Malaysia, (1994) h.143
12. Ibid. h.244
13. Ibid. h.245
14. Ibid. h.134
15. Siti Zainon Ismail, “Bab V Seni Tekat”, Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi, (1986)
h.244
16. Rujukan daripada hasi temu bual bersama
Alang Aminah
17. Siti Zainon Ismail, “Bab V Seni Tekat”, Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi, (1986)
h.244-246
18. Abdullah Zakaria Ghazali dan Muhd Radzi
Hj. Ahmad, Perak Warisan Budaya dan
Sejarah(United Selangor Press Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 2011), h.136
19. Shahrudin Mohd Nor, “Design Magazine Malaysia Craft Design Experience ‘96” (Malaysia
Handicraft Development Corporation, 1996), h.101
20. Ibid. h.139
21. Ibid. h.139
22. Siti Zainon Ismail, “Bab V Seni Tekat”, Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi, (1986)
h.256-258
23. Abdullah Zakaria Ghazali dan Muhd Radzi
Hj. Ahmad, Perak Warisan Budaya dan
Sejarah (United Selangor Press Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 2011), h.142
24. Ibid. h.142
25. Ibid. h.143-144
26. Rujukan daripada hasi temu bual bersama
Alang Aminah
27. Abdullah Zakaria Ghazali dan Muhd Radzi
Hj. Ahmad, Perak Warisan Budaya dan
Sejarah (United Selangor Press Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 2011), h.147
28. Siti Zainon Ismail, “Bab V Seni Tekat”, Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi, (1986) h.240
29. Abdullah Zakaria Ghazali dan Muhd Radzi
Hj. Ahmad, Perak Warisan Budaya dan
Sejarah (United Selangor Press Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 2011), h.148
BIBLIOGRAFI
Abdullah
Zakaria Ghazali dan Mohd. Radzi Hj. Ahmad. “Seni
Tekat.” Perak Warisan Budaya dan Sejarah. Selangor : United Selangor Press
Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 2011
Dato’
Hj. Sulaiman Othman, Hj. Rudin Salinger, Khoo Joo Ee, Mohd Kassim Hj. Ali,
Patricia Regis, Yeoh Jin Leng. “The Art
Of Embroibery” The Craft Of Malaysia. Singapore : Tien Wah Press, 1994
Kucc.
2011. Kerana Aya Sofia Bab 8. http://cetera-kucc.blogspot.com/2011/11/kerana-aya-sofya-bab-8.html
Shahrudin
Mohd Nor. Design Magazine Malaysia Craft
Design Experience ’96. Selangor: Malaysia Handicraft Development
Corporation, 1996
Siti
Zainon Ismail. “Seni Tekat.” Rekabentuk
Kraftangan Melayu Tradisi. Bab V. Selangor : DBP (1986)
Syed
Ahmad Jamal, “Tekatan.” Rupa dan Jiwa.
Kuala Lumpur : Harian (Zulfadzli) Sdn. Bhd, 1992
Wartawan
akhbar Metro. 2012/06/29. Tekat Benang
Emas.http://www.hmetro.com.my/articles/Tekatbenangemas/Article
Labels: MAISARAH ISMAIL, PBS SJ
Thursday 18 April 2013/ -21:24:00
#5 Dapatan Kajian part 1
Sara hanya share dapatan kajian sara part 1 sahaja...
yang lain sara kongsikan lewat sikit kerana sara taknak penulisan sara diciplak.. :)
Maaf..
Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.. ^_^
6.0 DAPATAN
KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Kajian ini akan membincangkan tentang
data-data yang diperoleh daripada sampel kajian. Data tersebut telah dianalisis
untuk mendapatkan jawapan sebenar kepada objektif-objektif kajian yang
berkaitan. Kesemua data yang diperoleh melalui set soalan soal selidik sebelum
ini dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif iaitu kekerapan, skor
min dan peratusan. Jadual 3 menunjukkan intepretasi skor min:
Skor Min
|
Intepretasi
|
1.00 hingga 2.33
|
Tahap Rendah (Tidak
Setuju)
|
2.34 hingga 3.66
|
Tahap Sederhana (Kurang Setuju)
|
3.67 hingga 5.00
|
Tahap Tinggi (Setuju /
Sangat Setuju)
|
Jadual 3
Berdasarkan jadual 3, skor min 1.00 hingga
2.33 menunjukkan pengataan tersebut berada pada tahap rendah yang bermaksud
bahawa sempel kajian tidak setuju dengan kenyataan-kenyataan yang diberikan
dalam borang soal selidik. Skor min 2.34 hingga 3.66 menunjukkan pernyataan
tersebut berada pada tahap sederhana yang bermaksud bahawa sampel kajian tidak
pasti atau kurang setuju. Manakala skor min 3.67 hingga 5.00 pula menunjukkan
pernyataan tersebut pada tahap tinggi yang bermaksud bahawa sampel kajian
bersetuju dengan kenyataan yang diberikan.
6.1 DAPATAN
KAJIAN BAHAGIAN A : Latar Belakang Responden
Bahagian
A soal selidik dikhususkan kepada latar belakang sampel kajian yang mengandungi
perkara-perkara seperti jantina, bangsa, umur, agama dan status. Maklumat pada jadual dan graf 6.1.1 hingga
6.1.5 menunjukkan analisis data dan perbincangan dengan jelas mengenai latar
belakang responden.
/ -21:19:00
#4 Kaedah Kajian
5.0 KAEDAH KAJIAN :
Kajian yang akan saya jalankan ini menggunakan
pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam pengumpulan data. Pendekatan
kualitatif adalah melibatkan kaedah pemerhatian dan kaedah temu bual. Manakala
pendekatan kuantitatif pula adalah kaedah pengumpulan data dengan menggunakan
borang soal selidik.
5.1
Kaedah Pemerhatian
Menurut Chua Yan Piaw (2008) kaedah pemerhatian
adalah salah satu kaedah yang dapat mengumpulkan data-data yang hendak dikaji
dalam kajian yang dijalankan agar membolehkan pengkaji memerhati kumpulan-kumpulan
tertentu yang hendak dikaji. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu
pengkaji mengenal pasti beberapa gambaran berkaitan dengan objiktif kajian.
Kaedah pemerhatian digunakan adalah untuk memerhati sambutan pelanggan terhadap
Perniagaan Burger Mat Salai Pulai Jaya mengikut masa yang telah dirangka.
Pengkaji akan mentafsir pemerhatian dalam jadual Matriks Analisis Kualitatif
(Pemerhatian).
5.2 Kaedah Temu Bual
Kajian ini juga akan turut gunakan penemubual yang
melibatkan antara pengusaha perniagaan dan pelanggan yang terlibat secara
langsung dalam aktiviti perniagaan ini. Menurut Ahmad Mahdzan Ayob (1985),
kaedah temu bual atau lebih dikenali sebagai temu ramah adalah merupakan kaedah
yang paling popular dalam melakukan tinjauan daripada responden yang terlibat.
Tujuan temu bual atau temu ramah dilakukan adalah untuk mengesahkan dapatan
kajian daripada responden soal selidik. Saya akan menemubual peniaga dan
pelanggan Gerai Burger Mat Salai Pulai Jaya untuk mengesahkan dapatan kajian saya.
Hasil temu bual dilampirkan di bahagian lampiran.
5.3
Kaedah Soal Selidik
Menurut Mohd Majid Konting (1993), soal selidik
merupakan satu alat yang penting bagi seseorang pengkaji dalam menjalankan
kajian kerana kualiti soal selidik akan menentukan nilai penyelidikan secara
keseluruhannya. Sekiranya soalan yang dikemukakan dalam soal selidik itu kabur,
maka jawapan yang diperolehi tidak akan memberi pengertian yang nyata dan ini
akan merosakkan sesuatu hasil kajian. Kaedah soal selidik lebih praktikal dan
berkesan untuk mengkaji populasi yang besar untuk mewujudkan ketepatan anggaran
statistik sampel. Kajian ini sesuai untuk mendapat maklumat secara umum dari
kumpulan sasaran (focus group). Oleh kerana pendapat orang ramai berbeza-beza,
maka sampel yang besar diperlukan bagi mengetahui trend pendapat orang ramai.
Apabila melibatkan sampel yang ramai, maka instrumen soal selidik lazimnya
digunakan untuk mendapatkan data. Penggunaan kaedah soal selidik bagi kajian
yang menggunakan saiz sampel yang besar dapat mengurangkan ralat persampelan.
Dalam
kajian ini, saya telah menggunakan borang soal selidik untuk diedarkan kepada
para pelanggan di Gerai Burger Mat Salai Pulai Jaya dan penduduk setempat. Soal
selidik ini mengandungi soalan-soalan yang disusun secara teratur mengikut
objektif kajian untuk dijawab oleh responden.
Menurut
Azlah Bin Md Ali (2005) jawapan yang boleh dipilih oleh responden atau boleh dikenali juga sabagai kaedah soal
selidik tertutup ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Antaranya ialah
seperti berikut :
a) Menerusi
kaedah ini akan memudahkan saya untuk menganalisis borang soal selidik
berdasarkan jawapan yang saya tetapkan sendiri.
b)
Kaedah ini sangat sesuai dilakukan bagi
menangani masalah respondan yang kurang gemar memikirkan jawapan yang hendak
ditulis dalam borang soal selidik yang saya edarkan kerana jawapan telahpun
tersedia. Di samping itu, kaedah ini sesuai bagi respondan yang tidak mahu
berfikir secara kritis bagi menghasilkan jawapan.
Bagi kajian ini, saya telah menyediakan satu set
borang soal selidik yang mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama atau
bahagian A merupakan maklumat peribadi responden. Bahagian B pula mempunyai 30
soalan berdasarkan tiga objektif kajian yang telahpun saya rangka pada awal
kajian. Saya telah mengedarkan sebanyak 75 set soalan soal selidik kepada orang
ramai untuk maklum balas kajian saya. Namun begitu, hanya 50 set soalan yang berjaya
dikembalikan. Oleh hal yang demikian, saya akan menggunakan 50 set soalan yang
telah dikembalikan itu untuk proses analisis dan perbincangan kajian saya.
5.3.1
Instrumen Kajian
Instrumen kajian yang digunakan
untuk pengumpulan data primer dalam kajian ini adalah borang soal selidik. Soal
selidik dibahagikan kepada dua bahagian seperti yang dinyatakan di dalam Jadual
1 di bawah :
Bahagian
|
Jenis Item (mengikut objektif)
|
Bilangan Item
|
A
|
Maklumat Responden
|
5
|
B
|
Mengenal Pasti Sambutan Pelanggan Terhadap
Perniagaan Burger
|
10
|
Mengenal pasti tahap layanan peniaga burger
terhadap pelanggan
|
10
|
Menganal pasti cabaran yang dihadapi oleh
peniaga burger
|
10
|
JUMLAH ITEM
|
35
|
Jadual 1
Jelasnya,
kajian ini akan menggunakan kedua-dua pendekatan iaitu pendekatan kualitatif
dan kuantitatif yang melibatkan kaedah
kajian, iaitu kaedah pemerhatian, kaedah temu bual dan kaedah soal selidik.
Kaedah soal selidik menggunakan skala pengukuran lima mata model Likert. Sempel
kajian dikehendaki memberi maklum balas terhadap penyataan yang dikemukakan
dalam bentuk seperti berikut :
1.
Sangat Tidak Setuju (STS)
2.
Tidak Setuju (TS)
3. Kurang
Setuju (KS)
4.
Setuju (S)
5.
Sangat Setuju (SS)
Bagi
jawapan untuk borang soal selidik yang diedarkan, responden dikehendaki menanda
(P)
bagi jawapan yang difikirkan terbaik pada ruangan nombor yang disedikan
sebagaimana yang ditunjukkan pada jadual di bawah ini.
Jadual 2
Kesimpulannya,
penggunaan alat yang tepat dalam sesuatu kajian adalah penting kerana dengan
alat tersebut, data dapat diperolehi dan dikumpul dan seterusnya diproses
dengan tepat. Daripada data tersebut, dapatlah dimanifestasikan tindak balas sebenar
responden yang terlibat.
Labels: MAISARAH ISMAIL, PBS PA
/ -21:13:00
#3 Objektif / Konsep Kendalian / Lokasi Kajian
Assalamualaikum sekali lagi ;)
Formatnya mungkin lari kerana sara terpaksa copy dari word ke blog..
Kemalasan melanda + Tak reti nak edit ^_^
2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian merupakan nadi kepada sesebuah
kerja kursus atau kajian. Secara teorinya, objektif kajian ialah apa yang
hendak kita capai melalui kajian yang kita lakukan. Bagi kajian ini, saya telah
memilih beberapa objektif untuk melengkapkan kajian saya.
2.1 Mengenal
pasti potensi perniagaan Burger Mat Salai Pulai Jaya.
Saya memilih objektif ini kerana saya ingin mencari
tahu potensi perniagaan Burger Mat Salai dalam memperoleh keuntungan dan bagaimana
mereka menghadapi cabaran dan risiko dalam perniagaannya. Hal ini kerana,
wujudnya banyak gerai-gerai makanan lain yang memberi saingan hebat kepada
perniagaan Burger Mat Salai.
2.2 Mengenal pasti sambutan penduduk
terhadap perniagaan burger.
Menerusi
kajian saya, saya memilih objektif ini kerana saya ingin mengetahui sambutan
penduduk yang ramai terhadap perniagaan burger yang terdapat di situ. Hal ini
kerana, kawasan perumahan yang banyak dan wujudnya populasi penduduk yang ramai
di lokasi kajian saya.
2.3 Mengenal pasti faktor-faktor yang
membawa kepada keuntungan perniagaan burger.
Objektif ini
dipilih kerana ingin mengenal pasti faktor-faktor yang membuatkan perniaga
burger mendapat keuntungan dalam perniagaannya. Hal ini kerana saya dapat
melihat secara kasar banyak faktor yang boleh menyumbang keuntungan kepada Perniagaan
Burger Mat Salai Pulai Jaya.
2.4 Mengenal pasti cabaran yang
dihadapi oleh peniaga burger dalam mencapai keuntungan.
Seperti
yang kita semua sedia maklum, bukan mudah untuk berniaga. Banyak risiko dan
cabaran yang perlu di lalui. Justeru, objektif ini dipilih bagi mengetahui
cabaran yang dihadapi oleh peniaga burger untuk mendapatkan keuntungan, menarik
pelanggan dan mengekalkan kualiti produknya.
3.0 KONSEP KENDALIAN (DEFINISI ISTILAH)
Beberapa istilah yang digunakan dalam
kajian ini perlu diperjelaskan bagi menerangkan dengan lebih terperinci maksud
dan kehendak pengkaji berkaitan dengan kajian yang dijalankan.
3.1 Potensi
Menurut
Endra K (2004) potensi boleh diertikan sebagai kekuatan, tenaga, atau kemampuan
yang terpendam yang dimiliki dan belum dimanfaatkan secara optimal. Potensi
diri yang dimaksudkan di sini ialah suatu kekuatan yang masih terpendam yang
berupa karakter, minat, bakat, kecerdasan dan nilai-nilai yang terkandung dalam
diri tetapi belum dimanfaatkan dan diolah. Dari pengertian di atas dapat
disimpulkan bahawa potensi adalah kemampuan dasar yang dimiliki oleh diri atau
organisasi dan mampu untuk dikembangkan
jika adanya latihan dan strategi yang hebat.
3.2 Perniagaan
Perkataan
‘perniagaan’ membawa maksud perihal berniaga atau perdagangan Kamus Dewan Edisi
Empat (2005). Frasa ‘perniagaan’ ini juga membawa maksud urusan berjual beli untuk
mencari keuntungan Kamus Pelajar Edisi Kedua 2008. Menurut buku Pengajian
Perniagaan Penggal 1 (2012), perniagaan ialah aktiviti jual beli barang dan
perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat dengan tujuan untuk
mendapat keuntungan. Dalam kajian ini perniagaan merujuk kepada fokus kajian
saya iaitu mengkaji tentang perniagaan burger.
3.3 Burger
Menurut Kamus
Dewan Edisi Empat (2005), burger merupakan makanan ala barat yang digemari oleh
golongan tertentu. Juga dikenali sebagai ‘fast food’ atau makanan segera.
Secara holistik burger merupakan kepingan daging kisar yang sudah dibubuh
rempah yang digoreng atau dipanggang, biasanya dimakan bersama roti. Burger di
sini digunakan sebagai objek kajian.
3.4 Cabaran
Menurut
Kamus Dewan Edisi Empat (2005), perkataan ‘cabaran’ di sini merujuk kepada
sesuatu yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi Cabaran
dalam kajian ini merujuk kepada liku-liku atau kesusahan dan masalah yang dihadapi
oleh peniaga burger bagi mencapai matlamat mereka iaitu keuntungan.
3.5 Keuntungan
Keuntungan
merupakan perbezaan di antara pendapatan dan perbelanjaan perniagaan.
Keuntungan perniagaan menggalakkan peniaga-peniaga untuk menjalankan dan
mengembangkan perniagaan mereka. Ia juga merupakan pulangan atau ganjaran
kepada peniaga-peniaga yang sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang
dan masa mereka. Keuntungan dalam kajian ini merujuk kepada keuntungan peniaga
burger.
4.0 LOKASI KAJIAN
Saya telah memilih Bandar Pulai Jaya
sebagai lokasi kajian saya. Lokasi ini telah dipilih kerana lokasi ini terletak
di kawasan perumahan saya. Oleh hal yang demikian, situasi ini akan memudahkan
saya untuk melaksanakan kajian ini. Hal ini juga kerana jangka masa yang
diberikan untuk menyelesaikan kajian ini juga agak singkat iaitu selama 14
minggu sahaja.
Selain itu, lokasi ini
juga dipilih kerana lokasinya sangat strategik untuk menjalankan kajian. Sesuai
dengan tajuk kajian saya iaitu berkaitan tentang potensi perniagaan Burger Mat
Salai Pulai Jaya di Bandar Pulai Jaya. Hal ini kerana Bandar Pulai Jaya
berdekatan dengan Kampung Merawan Indah, Kampung serdang Permai, Taman Pulai
jaya dan Taman Muda yang menempatkan banyak perumahan dan seterusnya menjadikan
kawasan ini mempunyai masyarakat pelbagai kaum.
Di samping itu lokasi
kajian saya iaitu Bandar Pulai Jaya juga menempatkan sebuah kilang elektronik
iaitu Kilang Unisem, yang menggaji banyak pekerja asing. Disamping itu, sebuah
hostel untuk pekerja asing tersebut telah terbina. Hal ini sekali gus menambahkan
lagi populasi bilangan penduduk di sini.
Kesimpulannya, lokasi Bandar
Pulai Jaya telah menjadi pilihan saya sebagai lokasi untuk saya menjalankan kajian
ini kerana lokasi ini berdekatan dengan rumah saya dan bersebelahan dengan
banyak lagi kawasan perumahan yang seterusnya menambahkan populasi penduduk di
sini. Hal ini secara tak langsung, dapat menambahkan bilangan sampel saya untuk
terlibat dalam menjawab objektif kajian saya.
4.1 BATASAN KAJIAN :
1. Masa yang diperuntukkan adalah
sangat terhad.
2. Tugas hakiki dan komitmen penyelidik.
3. Kerjasama dari responden atau
orang ramai.
4. Kos penyelidikan.